Selamat Datang Ke Blog SK Kionsom Inanam

Selasa, 5 Oktober 2021

Galeri Sejarah Sekolah

 

1. SEJARAH SEKOLAH



        Sekolah Kebangsaan Kionsom Inanam telah ditubuhkan pada tahun 1958, oleh masyarakat sendiri yang diketuai oleh Encik Kausik Ligong. Beliau merupakan seorang yang aktif dan mempunyai pemikiran yang luas untuk memajukan kampungnya sendiri. Dengan kerjasama masyarakat kampung yang bersefahaman di antara satu sama lain maka terbinalah bangunan sekolah. Sekolah ini didirikan di atas tapak bekas perkuburan. 


 

        Kawasan tapak sekolah ini telah dibersihkan oleh masyarakat kampung dengan menggunakan sebuah jentolak kecil dan hasil sumbangan tenaga masyarakat kampung sendiri. Mengikut cerita orang kampung, semasa kerja meratakan tanah dijalankan, Encik Kausik Ligong telah jatuh sakit tenat sehingga tidak siuman. Mengikut kepercayaan penduduk kampung, beliau jatuh sakit disebabkan oleh kemarahan orang halus yang diganggu tempat kediaman mereka.


 

            Walaupun mendapat pelbagai halangan, kerja membina sebuah bangunan yang mempunyai dua bilik telah dapat disiapkan pada bulan November 1958. Setelah bangunan sekolah yang pertama dapat disiapkan, masyarakat kampng telah sebulat suara bersetuju untuk menamakan sekolah ini sebagai NVES KIONSOM atau nama penuhnya NATIVE VOLUNTRY ENGLISH SCHOOL yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. 


 

            Pada awal tahun 1959 bangunan sekolah tersebut telah pun digunakan oleh murid-murid untuk belajar sebanyak tiga buah kelas iaitu darjah satu, dua dan tiga. Guru besar yang pertama bertugas di sekolah ini ialah Encik Benedict Kuasong yang berasal dari Kota Kinabalu. Disebabkan dari tahun ke tahun para pelajar semakin bertambah  maka dua buah bangunan juga telah dibina untuk dijadikan  asrama kanak-kanak yang tinggal jauh dari sekolah ini. Pada tahun 1965, Encik Benedict Kuasong telah digantikan oleh Puan Lucy Wong yang berasal dari Daerah Menggatal Kota Kinabalu, Sabah. 


 

        Pada tahun 1969, Puan Lucy Wong terpaksa berhijrah ke Kanada maka jawatan guru besar di sekolah digantikan oleh Cik Shan Siew Man. Setelah berkhidmat selama setahun, beliau digantikan oleh Encik Joseph Chong pada tahun 1971. Semasa Encik Joseph Chong menjadi guru besar di sekolah ini, bilangan murid-murid semakin bertambah. Bilangan guru pula hanya enam orang termasuk guru besar. Memandangkan bilangan kakitangan yang kurang sedangkan bilangan murid semakin bertambah, sering kali guru besar dan guru-guru terpaksa mengorbankan wang dan masa mereka sendiri untuk mengatasi pelbagai masalah yang bertambah. Ini kerana pada masa itu, sekolah ini masih merupakan sebuah sekolah sukarela dan tidak menerima bantuan kerajaan. 


 

        Untuk mengatasi masalah tersebut, pada tahun 1973 pihak sekolah telah memohon untuk menukar nama sekolah  ini menjadi SRK KIONSOM. Secara tidak langsung kejayaan menukarkan nama sekolah ini menjadi SRK Kionsom Inanam telah meninggikan taraf sekolah dan mendapat bantuan daripada kerajaan. Selaras dengan kejayaan itu, bahasa penghantar sekolah ini telah ditukar daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Pada tahun 1974 dan 1975, dua orang murid iaitu Lo Ah Seng dan Yukin Kupan telah menerima biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia

2. GURU BESAR SK KIONSOM

01. BENEDICT KUASONG                      1958-1965

02. LUCY WONG                                      1965-1969

03. CHAN SIEW MAN                              1970-1971

04. CHONG LOI FATT                              1971-1981

05. TAHIR OMAR                                       1981-1985

06. ASPAR DAMANG                                1985-1987

07. ISHAK HUSSIN                                     1987-1997

08. AYUB SALAM                                       1997-1999

09. NONOI & FRANCIS ODOL                1999-2001

10. SAMIE SANDAU                                  2002-2018


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

SK KIONSOM

Galeri TS 25

SK KIONSOM INANAM, SEKOLAH TRANSFORMASI 2021-2025 Selamat datang ke Galleri TS 25 Sk Kionsom Inanam yang bertujuan memberi sebaran maklumat ...